Beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei membawa kegembiraan pada Hari Kemerdekaan ke-68 selepas menamatkan kempen bersejarah mereka di Kejohanan Dunia Badminton dengan kejuaraan.
Regu ranking No. 4 dunia, Tan Jie/Ee Wei, berjaya menumbangkan regu China ranking No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang/Wei Yaxin, dengan kemenangan 21-15, 21-14 di Adidas Arena, Paris pada Ahad (31 Ogos) menerusi corak permainan serangan pantas dan hampir tanpa kesilapan.
BACA JUGA : Jadual Dan Keputusan Penuh Kejuaraan Dunia 2025
‘The Little Gangsters‘ yang mempamerkan keserasian mantap, bermula dengan baik apabila mendahului 11-6 dan terus mengekalkan momentum untuk menutup set pertama.
Mereka sekali lagi bermula cemerlang pada set kedua apabila mendahului 10-5, namun Zhen Bang/Yaxin cuba bangkit dengan merapatkan jurang kepada 12-14.
Bagaimanapun gandingan negara, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei tidak goyah dan mengekalkan kawalan permainan untuk meraih kemenangan sekali gus menggenggam pingat emas.
Pasangan ini kini menjadi rakyat Malaysia kedua yang berjaya dinobatkan sebagai Juara Dunia BWF selepas kejayaan bersejarah beregu lelaki Aaron Chia/Soh Wooi Yik pada 2022 di Tokyo. Kali kedua juga, lagu Negaraku berkumandang di pentas BWF World Championships.

Kejayaan ini lebih bermakna kerana mereka pernah berpisah selama lima bulan awal tahun ini akibat perbezaan pendapat, namun berjaya membuat kemunculan semula yang luar biasa dengan menunjukkan kepaduan di gelanggang.
Malaysia berjaya menghentikan dominasi China dalam acara beregu campuran selepas gergasi badminton itu menjuarai acara tersebut sebanyak 10 kali.
Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini hanyalah pingat gangsa menerusi Koo Kien Keat/Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid.
Tahniah beregu campuran negara Chen Tang Jie/Toh Ee Wei.
Laluan Kejayaan Chen Tang Jie/Toh Ee Wei Sepanjang Kejohanan Dunia 2025
- Pusingan pertama: Bye
- Pusingan kedua: kalahkan Rohan Kapoor/Ruthvika Shivani Gadde (India) 21-16, 21-11.
- Pusingan ketiga: kalahkan Jafar Hidayatullah/Felisha Pasaribu (Indonesia) 14-21, 21-19, 21-17.
- Suku akhir: kalahkan Dhruv Kapila/Tanisha Crasto (India) 21-15, 21-13.
- Separuh akhir: kalahkan Thom Gicquel/Delphine Delrue (Perancis) 21-18, 21-16.
- Final: kalahkan Jiang Zhenbang/Wei Yaxin (China) 21-15, 21-14.
Gambar : BAM
1 thought on “Chen Tang Jie/Toh Ee Wei Muncul Sebagai Juara Dunia Pertama Negara Bagi Beregu Campuran”
Comments are closed.