Aksi menarik Liga Super 2025/26 kembali dengan pertemuan Kuching City vs JDT. Pertembungan ini menjadi tumpuan kerana ia merupakan perlawanan pembukaan bagi hari ketiga, minggu ke-3 saingan Liga Super musim ini.
Perlawanan akan berlangsung pada Ahad, 24 Ogos 2025 dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8.15 malam di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak.
Peminat bola sepak tanah air boleh menyaksikan siaran langsung di Astro Arena Bola 803, manakala pilihan live streaming turut disediakan melalui platform Sooka dan Astro Go untuk tontonan mudah alih.
Prestasi Semasa Kuching City vs JDT
Setakat minggu ketiga ini, kedua-dua pasukan menampilkan prestasi yang cemerlang apabila masing-masing masih mengekalkan rekod kemenangan bersih.
Bagi Kuching City, mereka bermula garang dalam perlawanan pembukaan apabila berjaya meraih tiga mata penuh dengan kemenang 4-0 ketika menentang Kelantan FC. Perlawanan menentang JDT ini bakal menjadi aksi kedua mereka musim ini, sekali gus menjadi ujian sebenar buat skuad dari Sarawak untuk membuktikan kemampuan menyaingi pasukan gergasi bola sepak tanah air.
Sementara itu, JDT yang sememangnya sinonim dengan kejuaraan, terus menunjukkan konsistensi apabila mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal musim. Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz dilihat tidak berdepan masalah besar setakat ini, dan pertemuan menentang Kuching City pastinya akan menjadi pentas untuk mereka mengekalkan momentum.
Walaupun rekod memihak kepada JDT, faktor bermain di halaman sendiri mungkin memberi kelebihan kepada Kuching City yang tentunya mahu mencipta kejutan di hadapan penyokong mereka.

Rekod Pertemuan Kedua-Dua Pasukan
Jika diteliti semula, rekod pertemuan Kuching City vs JDT ini jelas memperlihatkan dominasi pasukan yang berpengkalan di Selatan itu. Pada musim 2024/2025, Kuching City dan JDT hanya bertemu sebanyak dua kali sahaja, dan kedua-duanya adalah dalam saingan Liga Super. Dalam kedua-dua aksi tersebut, JDT berjaya menundukkan lawan dari Sarawak itu tanpa banyak masalah.
Namun, musim baru sering membuka lembaran baharu. Pasukan bimbingan Aidil Sharin mungkin tampil dengan strategi lebih berbeza untuk mencabar rekod kebal JDT. Penyokong setia di Stadium Negeri pastinya menjadi faktor tambahan yang boleh menyuntik semangat juang tinggi kepada pasukan tuan rumah.
Tumpuan Perlawanan
Perlawanan Kuching City vs JDT ini dijangka berlangsung sengit kerana ia mempertemukan dua pasukan yang masih mengekalkan rekod bersih. Antara tumpuan utama sudah tentu terarah kepada barisan serangan JDT yang terkenal dengan kualiti tinggi dan kelancaran permainan mereka. Kehadiran pemain import serta pengalaman luas pemain tempatan menjadikan JDT lawan yang sukar digugat.
Di pihak Kuching City pula, barisan pertahanan mereka perlu beraksi dengan penuh disiplin untuk menyekat serangan bertali arus JDT. Skuad ini juga perlu memanfaatkan peluang serangan balas pantas untuk mencari jaringan, terutamanya dengan sokongan padu daripada penyokong Sarawak yang sudah pasti membanjiri Stadium Negeri.
Keputusan Perlawanan
FT : Kuching City (0) – (1) JDT
- Jairo da Silva 61′
Masa : 8.15 PM
Venue : Stadium Negeri, Kuching
TV : Arena Bola 803
Live Streaming : Sooka