Saingan minggu ketiga Liga Super 2025 akan menutup tirai dengan pertemuan yang dinantikan antara Negeri Sembilan vs Selangor FC.
Pertembungan ini bukan sahaja menjadi aksi terakhir minggu tersebut, malah turut dijangka menjadi antara perlawanan tumpuan kerana melibatkan dua pasukan bersejarah dalam bola sepak Malaysia.
Perlawanan akan berlangsung pada Ahad, 24 Ogos 2025, dengan sepak mula jam 9.00 malam bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Peminat bola sepak tanah air boleh menyaksikan aksi Liga Super ini secara langsung di TV Okey dan Sukan RTM, manakala pilihan live streaming percuma tersedia menerusi platform RTM Klik.
Aksi Yang Ditunggu-Tunggu Liga Super 2025
Perlawanan ini dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada penyokong setia. Malah, laporan menyebut lebih 20,000 penonton bakal membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman malam ini untuk memberi sokongan kepada skuad Jang Hobin.
Keterujaan ini didorong oleh persembahan bertenaga Negeri Sembilan dalam aksi pembukaan mereka menentang juara bertahan, JDT, minggu lalu.
BACA JUGA : Negeri Sembilan Berjaya Menjaringkan 3 Gol Ketika Bertemu JDT
Walaupun tewas 5-3 dalam perlawanan tersebut, pasukan kendalian Nidzam Jamil berjaya mencuri tumpuan apabila mendahului permainan dengan dua gol awal.
Keberanian dan keyakinan tinggi yang dipamerkan membuktikan Negeri Sembilan mampu memberi saingan kepada mana-mana pasukan. Lebih manis lagi, mereka menjadi pasukan pertama membolosi gawang JDT musim ini, malah berjaya menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan. Sesuatu yang jarang berlaku kepada mana-mana lawan JDT dalam saingan domestik.
Walaupun keputusan akhir tidak memihak kepada mereka, aura positif yang dibawa daripada perlawanan tersebut menjadi sebab utama mengapa penyokong semakin bersemangat untuk menyaksikan pertemuan menentang Selangor.

Pertemuan Negeri Sembilan vs Selangor
Sejarah pertemuan kedua-dua pasukan juga menambah rencah kepada perlawanan ini. Pada musim lalu, Negeri Sembilan dan Selangor bertemu sebanyak tiga kali yang mana dua kali dalam saingan Liga Super dan sekali di pusingan 16 Piala FA.
Namun, rekod tersebut jelas memihak kepada Selangor apabila mereka berjaya memenangi ketiga-tiga perlawanan. Dominasi itu sekali gus meletakkan tekanan tambahan kepada Negeri Sembilan untuk bangkit membalas dendam pada musim baharu ini.
Bagi Selangor pula, mereka sudah tentu mahu mengekalkan rekod cemerlang menentang Negeri Sembilan. Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi dilihat semakin matang dari segi corak permainan dan kualiti pasukan, menjadikan mereka salah satu pencabar utama Liga Super musim ini.
Dengan rekod lalu di tangan Selangor dan semangat membara di pihak Negeri Sembilan, pertemuan ini dijangka berlangsung dalam suasana sengit. Skuad Jang Hobin mahu menamatkan badi kekalahan, manakala Selangor pula tidak mahu rekod baik mereka tercalar.
Pasukan Manakah Yang Bakal Peroleh 3 Mata?
Perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan vs Selangor pada Ahad ini jelas menjadi aksi yang cukup dinanti-nantikan. Kehangatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman dijangka akan memberi kelebihan buat pasukan tuan rumah, tetapi Selangor hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang lebih konsisten dan berpengalaman.
Bagi peminat bola sepak tanah air, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan siaran langsung perlawanan ini di saluran RTM. Jika ingin menonton secara digital, boleh menstrim secara percuma di RTM Klik.
Segala persoalan sama ada Negeri Sembilan mampu mencipta kejutan di laman sendiri, atau Selangor terus mengukuhkan penguasaan mereka, hanya akan terjawab apabila wisel penamat ditiup di Paroi.
Keputusan Perlawanan
FT : Negeri Sembilan (2) – (1) Selangor
- Richmond Ankrah 12′
- Mio Tsuneyasu 83′, 90+3′
Masa : 9.00 PM
Venue : Stadium Tuanku Abdul Rahman
TV : TV Okey, Sukan RTM
Live Streming : RTM Klik