Impian Malaysia untuk menamatkan Kejohanan Dunia di Paris dengan menggenggam gelaran berganda tidak kesampain, apabila Pearly Tan/M Thinaah tewas kepada lawan mereka.
Beregu wanita negara itu memberikan segalanya menentang pasangan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu/Tan Ning dalam final pada Ahad. Mereka enggan tunduk mudah kepada gandingan handalan China tersebut, tetapi akhirnya tewas 14-21, 22-20, 17-21 dalam pertarungan sengit selama 83 minit di Adidas Arena, Paris.
Selepas tewas set pertama, Pearly/Thinaah bangkit garang pada set kedua, malah sempat memiliki tiga mata kelebihan pada kedudukan 20-17, sebelum lawan kembali bangkit di set ketiga untuk merampas kemenangan dan menggagalkan impian Malaysia meraih dua gelaran berturut-turut.
Namun, Sheng Shu/Tan Ning mengatur semula rentak dengan lebih agresif untuk menutup jurang mata dan menyamakan kedudukan 20-20, sebelum kesilapan sendiri membuka peluang Pearly Tan/M Thinaah memaksa perlawanan ke rubber set.
Dalam set penentuan, pasangan No. 1 dunia itu menukar strategi, mempelbagaikan corak permainan dan terus memberikan tekanan sehingga berjaya menundukkan semangat juang wakil Malaysia 21-14, 20-22, 21-17 dalam aksi final yang mendebarkan.
Walaupun tewas, Pearly-Thinaah boleh berbangga kerana menjadi beregu wanita Malaysia pertama mara ke final dan membawa pulang pingat di Kejohanan Dunia.

Pingat gangsa pula menjadi milik dua pasangan Jepun iaitu Rin Iwanaga/Kie Nakanishi serta Nami Matsuyama/Chiharu Shida, selepas kedua-duanya terkandas di separuh akhir.
Terdahulu, beregu campuran Chen Tang Jie/Toh Ee Wei dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasangan No. 2 dunia, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin di final.