Kini kita telah memasuki bulan Zulhijjah iaitu pada 29 Mei 2025 (Khamis). Dikongsikan disini tarikh-tarikh penting Zulhijjah untuk tahun 1446H/2025 terutamanya pada 10 terawal bulan ini.
Pada tahun 2025, 1 Zulhijjah 1446H jatuh pada Khamis iaitu pada 29 Mei. Zulhijjah juga biasa kita tahu adalah bulan Hari Raya Aidiladha dan juga mereka yang datang ke Mekah untuk melakukan ibadah Haji.
Tetapi pada bulan ini juga terdapat hari yang sangat istimewa dan memberi banyak kelebihan kepada umat Islam, terutamanya pada 10 hari terawal Zulhijjah. Jom kita tengok apa kelebihan, bila tarikh penting Zulhijjah dan amalan ibadah yang boleh dilakukan.
Kelebihan 10 Awal Zulhijjah
Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan pada 10 awal Zulhijjah. Apabila masuk sahaja 1 Zulhijjah dan telah bermula hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh Allah SWT bagi sesiap yang melakukan amal soleh padanya.
Daripada Ibn Abbas R. Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْء
Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” [Riwayat Abu Daud (2082)]

Tarikh Penting Zulhijjah 2025
Berikut merupakan antara tarik-tarikh penting Zulhijjah untuk tahun 1446H/2025M:
29 Mei – 15 Jun 2025 | 1 – 8 Zulhijjah 1446 | Perbanyakkan Amal Soleh & Puasa Sunat |
6 Jun 2025 | 9 Zulhijjah 1446 | Puasa Hari Arafah & Doa Hari Arafah |
7 Jun 2025 | 10 Zulhijjah 1446 | Hari Raya Aidiladha |
8 – 10 Jun 2025 | 11 – 13 Zulhijjah 1446 | Hari-Hari Tasyrik |
Waktu Doa Hari Arafah Di Malaysia
Pada awal Zulhijjah ini juga, terdapat satu waktu mustajab doa iaitu pada Hari Arafah. Jika di Malaysia, ianya jatuh pada 9 Zulhijjah 1446H atau 6 Jun 2025 iaitu pada hari Jumaat. Ini antara tarikh penting Zulhijjah.
Ianya juga merupakan Hari Wukuf bagi yang mengerjakan ibadah haji. Pada waktu ini juga, amalan terbaik adalah berdoa kepada Allah SWT yang merupakan waktu berdoa paling mustajab seperti yang disebutkan di dalam hadis
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,
“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.
Tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH YANG SATU , tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA kekuasaan dan milik-NYA segala pujian, dan DIA MAHA BERKUASA atas segala sesuatu).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Jadi bagi kita yang tidak melakukan ibadah haji, ambil peluang pada Hari Arafah untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut. Ini merupakan antara tarikh penting Zulhijjah.
Ada yang kata, waktu paling mustajab berdoa pada hari Arafah tersebut adalah sama ketika jemaah haji sedang berwukuf di Arab Saudi. Ada yang mengatakan pada jam sekian-sekiang adalah waktu mustajab doa
Sebenarnya tidak ada waktu-waktu khusus yang diperkatakan kerana waktu mustajab doa adalah pada Hari Arafah. Nabi kata sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah.
Keseluruhan tarikh 9 Zulhijjah itu dikira waktu mustajab doa dan rakyat Malaysia boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh tersebut tanpa menunggu masa-masa tertentu.

Amalan Yang Digalakkan Pada Awal Zulhijjah
Berikut merupakan antara amalan yang digalakkan dilakukan pada awal Zulhijjah:
1. Berpuasa Pada Hari Arafah
Secara spesifik, tiada amalan khusus berkaitan kelebihan atau ganjaran yang bakal diperoleh bagi orang yang berpuasa pada setiap hari di dalam sepuluh hari yang pertama bulan Zulhijjah.
Akan tetapi terdapat hadis sahih daripada Nabi SAW tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah. Ini berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]
2. Perbanyakkan Tahlil, Takbir Dan Tahmid
Antara amalan yang digalakkan pada 10 hari awal Zulhijjah adalah zikir Tahlil, Takbir dan Tahmid iaitu :
- Tahlil (laa ilaaha illallah) – لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّه
- Takbir (allahu akbar) – اللَّهُ أَكْبَرُ
- Tahmid (alhamdulillah) – الحَمْدُ لِلَّهِ
Rasullullah SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih mulia di sisi Allah dan amalan soleh lebih dicintai Allah berbanding 10 hari ini (10 hari awal bulan Zulhijjah). Maka perbanyaklah tahlil, takbir dan tahmid” – Hadis Riwayar Ahmad

2. Perbanyakkan Serta Meningkatkan Amal Soleh
Selain itu, pada awal Zulhijjah ini juga, umat Islam amat digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh kepada Allah. Banyakkan solat-solat sunat, berpuasa, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, qiyamullai dan sebagainya.
Ini semua adalah berdasarkan umum hadis yang menceritakan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Semoga Allah menjadikan kita dikalangan hamba-hambanya yang menerima keampunan.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan