Konflik di antara Israel dan Iran bukanlah sesuatu yang baharu. Ia adalah rentetan ketegangan yang telah membara selama beberapa dekad, yang berpunca daripada perbezaan ideologi, kepentingan geopolitik, dan perebutan kuasa di Timur Tengah.
Namun, serangan terbuka Israel terhadap Iran yang berlaku baru-baru ini mengejutkan banyak pihak. Apakah sebenarnya punca-punca yang mendorong Israel untuk bertindak sejauh ini?
Ancaman Program Nuklear Iran
Faktor paling utama yang sering dikemukakan oleh Israel ialah ancaman program nuklear Iran. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Iran telah meningkatkan pengayaan uranium ke tahap yang menghampiri keperluan untuk menghasilkan senjata nuklear. Laporan menunjukkan bahawa Iran kini memiliki cukup bahan untuk membina sekurang-kurangnya 15 bom nuklear.
Israel melihat perkembangan ini sebagai ancaman eksistensial terhadap negaranya. Sejarah menunjukkan bahawa Iran secara terbuka menolak kewujudan Israel dan menyokong kumpulan militan yang menentangnya. Maka, adalah logik bagi Israel untuk melihat senjata nuklear di tangan Iran sebagai “garisan merah” yang tidak boleh dilintasi.
Atas sebab itu, Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz dan lokasi lain yang dianggap strategik. Operasi ini dikenali sebagai Operation Rising Lion, yang bertujuan utama untuk menghancurkan keupayaan Iran menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran.
Serangan Balas Terhadap Proksi Iran
Israel turut menggunakan alasan bahawa serangan mereka adalah tindak balas terhadap serangan oleh proksi Iran seperti Hizbullah di Lubnan dan kumpulan militan di Syria. Ketegangan memuncak selepas serangan oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang kemudian membuka ruang kepada tindakan Hizbullah dari sempadan utara.
Iran secara terbuka menyokong Hamas, Hizbullah dan militan lain yang sering melakukan serangan roket, dron dan operasi ketenteraan terhadap Israel. Dalam konteks ini, Israel melihat bahawa Iran tidak sekadar menjadi penyokong, tetapi juga penggerak utama dalam memerangi keselamatan negara Yahudi itu.
Oleh itu, Israel merasakan perlu untuk bukan sahaja menyerang proksi-proksi Iran, tetapi juga menghantar mesej keras secara langsung kepada Teheran, bahawa mereka tidak akan berdiam diri terhadap ancaman berterusan.
Tekanan Politik Dalaman Israel
Selain faktor keselamatan dan ketenteraan, penganalisis juga turut menyebut bahawa tekanan politik dalaman di Israel memainkan peranan penting dalam keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sedang berdepan dengan pelbagai krisis dalaman termasuk pertuduhan rasuah, penentangan terhadap reformasi kehakiman, serta desakan untuk membubarkan Parlimen. Dalam situasi begini, serangan ke atas Iran dilihat sebagai langkah strategik untuk menyatukan semula rakyat Israel di bawah semangat nasionalisme, dan mengalihkan tumpuan daripada krisis dalaman.
Tindakan ketenteraan sering digunakan oleh kerajaan yang sedang tertekan sebagai cara untuk memperkukuh kedudukan politik. Dalam kes ini, serangan ke atas Iran menjadi platform bagi Netanyahu menunjukkan ketegasan dan keupayaan mempertahankan negara.
Perebutan Kuasa di Timur Tengah
Konflik ini juga tidak dapat dipisahkan daripada persaingan geopolitik antara dua kuasa utama di Timur Tengah iaitu Israel dan Iran. Iran berusaha memperluas pengaruhnya melalui pakatan dengan negara-negara seperti Syria, Iraq, Lubnan, dan Yaman, manakala Israel mempunyai hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab melalui Abraham Accords.
Israel tidak mahu melihat Iran menjadi kuasa dominan di rantau tersebut, terutama apabila Iran dilihat cuba menubuhkan “koridor Syiah” dari Teheran ke Beirut melalui Iraq dan Syria. Untuk menggagalkan rancangan ini, Israel telah melancarkan pelbagai serangan udara terhadap kedudukan Iran dan sekutunya di Syria selama beberapa tahun.
Namun, dengan serangan langsung ke atas Iran, Israel memperlihatkan satu peningkatan eskalasi konflik, yang mencerminkan tekad mereka untuk menghentikan pengaruh Iran daripada berkembang lebih jauh.

Serangan Israel ke atas Iran bukan sekadar reaksi spontan terhadap satu insiden. Ia adalah hasil daripada gabungan faktor yang rumit dan berlapis, termasuk ancaman nuklear, serangan daripada proksi Iran, tekanan politik domestik, dan persaingan kuasa di Timur Tengah.
Apa yang jelas, selagi tiada jalan penyelesaian diplomatik dan selagi kedua-dua pihak terus menganggap satu sama lain sebagai musuh utama, maka risiko peperangan terbuka akan sentiasa wujud. Dunia kini menantikan sama ada krisis ini akan berakhir dengan rundingan atau menjadi titik mula kepada konflik lebih besar di rantau yang sudah pun bergolak.
Adakah ini juga merupakan antara bibik-bibik awal bermulanya Perang Dunia Ke-3 (World War 3)?
Sumber : Astroawani.com









