Kad Fizikal Lesen Memandu Boleh Dimohon Tanpa Perlu Bukti Ke luar Negara

By aiman

Published On:

Follow Us
kad fizikal lesen memandu malaysia

Permohonan cetakan kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) kini dibuka tanpa syarat mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara. Kadar bayaran yang ditetapkan ialah RM20 bagi warganegara Malaysia, manakala RM100 dikenakan kepada bukan warganegara.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) memaklumkan bahawa permohonan bagi kad berkenaan boleh dibuat bermula 23 Januari 2026.

Langkah ini diperkenalkan bagi mempermudah urusan orang ramai dengan mengurangkan prosedur pentadbiran, termasuk arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak lagi mensyaratkan bukti keluar negara kepada pemohon.

MoT menjelaskan bahawa sejak Lesen Memandu Malaysia versi digital diperkenalkan pada Februari 2023, aplikasi MyJPJ telah mencatatkan lebih 13 juta pengguna. Peningkatan ini menunjukkan tahap penerimaan yang tinggi terhadap usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Perkembangan tersebut juga membuktikan masyarakat semakin selesa menggunakan kemudahan digital, memandangkan pembaharuan lesen kini boleh dilakukan secara dalam talian melalui MyJPJ tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ, selain menerima Lesen Memandu Digital secara terus.

Dalam masa yang sama, MoT sentiasa meneliti pandangan pengguna bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Antara maklum balas yang diterima ialah permintaan segelintir rakyat Malaysia untuk mendapatkan kad fizikal LMM, khususnya bagi kegunaan memandu di luar negara.

Sebelum ini, peraturan sedia ada menetapkan pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti tiket penerbangan bagi tujuan tersebut. Namun, selaras dengan usaha mengurangkan beban birokrasi, JPJ telah diarahkan supaya keperluan itu dimansuhkan sepenuhnya.

Boleh Mula Mohon Kad Fizikal Lesen Memandu Di Kaunter

Berkuat kuasa 23 Januari 2026, cetakan kad fizikal LMM boleh dibuat tanpa sebarang bukti perjalanan ke luar negara, dengan fi yang telah ditetapkan mengikut kategori pemohon.

Sehubungan itu, orang ramai kini boleh memohon kad fizikal LMM secara terbuka di semua kaunter JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, tanpa tertakluk kepada had kategori seperti sebelum ini.

MoT turut menegaskan bahawa dasar sedia ada yang membenarkan kumpulan tertentu menerima LMM fizikal secara percuma akan terus diteruskan.

Golongan terlibat termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang Lesen Kelas A1 dan A, serta pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, pemandu yang memilih untuk menggunakan Lesen Memandu Digital masih boleh mengakses dan memperbaharuinya secara percuma melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat.

MoT bersama JPJ menegaskan komitmen untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat, sambil menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Lesen Memandu Digital bagi pengalaman yang lebih mudah, cepat dan lancar.

Sumber : facebook Bernama

aiman

Apa yang terlintas di fikiran, akan ku kongsikan kepada pembaca lain. Selagi ianya bermanfaat. Apa salahnya kan!

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now