Solat witir memang istimewa. Ia adalah penutup solat malam yang sangat digalakkan dalam Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Tapi, bila sebenarnya kita mula baca doa qunut dalam solat witir? Jom kita faham dengan lebih santai!
Bila Mula Baca Qunut Witir di Malaysia?
Di Malaysia, kita mengikut mazhab Syafi’i, di mana qunut witir hanya dibaca pada separuh akhir bulan Ramadan, iaitu bermula malam ke-16 Ramadan hingga akhir bulan. Jadi untuk tahun 2025, ianya bermula pada malam 16 Mac 2025, hari Ahad.
Jadi, kalau solat witir pada malam 1 hingga malam 15 Ramadan, tidak perlu baca qunut. Hanya apabila masuk malam ke-16, barulah kita mula membaca qunut dalam rakaat terakhir solat witir.
Cara Baca Qunut Witir
- Dibaca pada rakaat terakhir solat witir. Jika lakukan 3 rakaat dengan 2 salam, Bacaan adalah pada 1 rakaat terakhir
- Waktu bacaan:
- Sebelum rukuk selepas selesai membaca surah.
- Atau selepas rukuk dalam keadaan i’tidal (lebih afdhal menurut ulama Syafi’i).

Mudah saja kan? Bagi yang dah biasa dengan Qunut Subuh, bacaannya hampir sama.
Jika anda solat witir pada bulan Ramadan, qunut witir mula dibaca pada malam ke-16 Ramadan hingga malam terakhir Ramadan. Sebelum itu, tidak perlu baca.
Yang paling penting, jangan tinggal solat witir kerana ia adalah sunnah yang sangat digalakkan, terutama pada bulan yang penuh keberkatan ini.
Semoga perkongsian bermanfaat dan membantu anda memahami bila mula baca Qunut Witir dengan lebih mudah.