Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, istilah “pemain warisan” menjadi semakin popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, khususnya penyokong skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Ramai yang mula tertanya-tanya siapakah mereka ini, dari mana datangnya, dan bagaimana mereka boleh mewakili Malaysia sedangkan mereka tidak dilahirkan atau dibesarkan di tanah air.
Kemasukan pemain-pemain ini sering dianggap sebagai suntikan semangat baharu dan usaha untuk memperkukuhkan pasukan di pentas antarabangsa. Tapi apa itu sebenarnya pemain warisan?
Maksud Pemain Warisan
Pemain warisan merujuk kepada individu yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia iaitu sama ada melalui ibu, bapa, datuk atau nenek, tetapi mereka dilahirkan dan dibesarkan di luar negara.
Walaupun mereka tidak pernah tinggal secara tetap di Malaysia, mereka masih layak untuk menyarung jersi kebangsaan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh FIFA, selagi mereka belum pernah bermain untuk negara lain di peringkat senior dalam kejohanan rasmi.
Dalam kebanyakan kes, pemain ini perlu melalui proses dokumentasi, termasuklah mendapatkan pengesahan kewarganegaraan dan pasport Malaysia, sebelum boleh mewakili negara secara rasmi. Jadi mereka akan ada 2 kerakyatan termasuk Malaysia dan dapat pasport Malaysia juga.
Kehadiran pemain warisan ini bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai bakat luar negara yang mempunyai darah Malaysia, tetapi juga memberi kelebihan dari segi fizikal, teknikal dan pengalaman khusus untuk pasukan Harimau Malaya.
Mereka biasanya mendapat pendedahan awal dalam sistem bola sepak yang lebih kompetitif di Eropah, Australia, benua Latin atau tempat asal mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka sering dianggap sebagai pemain yang boleh menaikkan tahap permainan pasukan kebangsaan.
Contoh pemain warisan paling dikenali ialah Dion Cools, pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia yang pernah beraksi dalam Liga Belgium dan Liga Denmark. Beliau menjadi antara pemain utama dalam skuad Harimau Malaya sejak mula menyertai pasukan pada tahun 2021.
BACA JUGA : Biodata Pemain Warisan Harimau Malaya Yang Baru
Kini terbaru untuk tahun 2025, Malaysia sudah mempunyai 7 pemain warisan yang baru selepas revolusi Harimau Malaya. Nama-nama seperti Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facunda Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang mana mereka semua pemain warisan.

Ada yang berasal dari Brazil, Argentina dan Sepanyol, tetapi mereka masih mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi susur jalur keluarga mereka sendiri. Jadi mereka la pemain warisan.
Tapi apa beza pula dengan pemain naturalisasi berbanding pemain warisan?
Beza Pemain Warisan Dan Pemain Naturalisasi
Ramai yang keliru antara pemain warisan dan pemain naturalisasi.
Bahasa mudah, pemain warisan mempunyai darah keturunan Malaysia, manakala pemain naturalisasi pula tidak mempunyai apa-apa pertalian darah, tetapi menjadi warganegara Malaysia melalui proses pemberian kerakyatan selepas menetap lama di negara ini, biasanya kerana beraksi dalam liga tempatan.
Jika pemain warisan dapat pasport Malaysia, pemain naturalisasi kad pengenalan (MyKad) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
Contoh pemain naturalisasi ialah Guilherme de Paula, Lee Tuck, Liridon dan Mohamadou Sumareh yang bermain lama dalam Liga Malaysia sebelum layak menyertai skuad kebangsaan.

Secara ringkas, pemain warisan membawa semangat darah Malaysia dari luar negara, manakala pemain naturalisasi membawa semangat Malaysia setelah menjadikan negara ini sebagai rumah kedua mereka. Kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam membina kekuatan Harimau Malaya.
Jadi dah faham maksud “pemain warisan” dan apa beza dengan “pemain naturalisasi”? Paling penting, mereka semua menyarung jersi Malaysia dan bermain demi negara!









