Senarai 5 Bazar Ramadan Kuala Lumpur Dekat Dengan LRT & MRT

By aiman

Published On:

Follow Us
bazar ramadan dekat dengan lrt dan mrt

Apabila menjelang bulan Ramadan, bazar Ramadan pasti menjadi tumpuan utama masyarakat untuk mendapatkan pelbagai hidangan berbuka puasa.

Suasana yang meriah dengan deretan gerai dan aneka pilihan makanan menjadikan bazar sebagai lokasi pilihan setiap tahun.

Walau bagaimanapun, masalah trafik sesak serta kekurangan tempat letak kenderaan atau parking sering menimbulkan kesulitan, khususnya di kawasan bandar yang padat.

Atas sebab itu, ramai yang kini memilih bazar Ramadan yang terletak berhampiran stesen LRT dan MRT bagi memudahkan urusan perjalanan.

BACA JUGA : Senarai Bazar Ramadan Yang Berada Di Kuala Lumpur

Menggunakan pengangkutan awam bukan sahaja membantu mengelakkan kesesakan jalan raya, malah menjimatkan masa dan tenaga, terutama pada waktu puncak menjelang berbuka puasa.

Di sekitar Kuala Lumpur, terdapat beberapa bazar Ramadan yang terkenal dengan kemeriahan suasananya dan pada masa sama mudah diakses dengan train LRT dan MRT.

Lokasi yang strategik ini memberi kelebihan kepada pengunjung untuk datang tanpa perlu memikirkan soal parking kereta.

Senarai Tapak Dan Lokasi Bazar Ramadan Yang Dekat Dengan LRT Dan MRT Di Kuala Lumpur

Berikut merupakan 5 tapak bazar Ramadan berdekatan stesen LRT dan MRT yang boleh anda singgah sepanjang bulan Ramadan

1) Bazar Ramadan TTDI (MRT Taman Tun Dr Ismail)

Bazar Ramadan TTDI merupakan antara lokasi bazar paling popular di Kuala Lumpur dan sering mendapat gelaran sebagai “bazar kayangan” dalam kalangan pengunjung.

Sudah beroperasi lebih dua dekad, bazar ini terus menjadi pilihan ramai kerana menampilkan hidangan berbuka yang berkualiti tinggi serta pilihan menu yang agak berbeza daripada bazar biasa.

Pengunjung yang datang ke sini boleh menikmati pelbagai juadah istimewa seperti nasi briyani premium, ayam percik dengan resipi tersendiri, aneka kuih moden serta pencuci mulut kreatif yang jarang ditemui di tempat lain.

bazar ramadan ttdi

Walaupun harga yang ditawarkan sedikit lebih mahal berbanding bazar lain, mutu rasa dan kualiti makanan menjadi faktor utama yang membuatkan ramai sanggup berkunjung setiap tahun.

Kedudukannya yang berhampiran stesen MRT Taman Tun Dr Ismail memudahkan orang ramai datang tanpa perlu bersusah payah mencari parkir.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menunaikan solat, Masjid At-Taqwa TTDI terletak berdekatan kawasan bazar dan mudah diakses dengan berjalan kaki.

2) Bazar Ramadan Jalan TAR (LRT Bandaraya)

Bazar Ramadan Jalan TAR dikenali sebagai antara bazar paling meriah dan menjadi ikon setiap kali tibanya bulan puasa di Kuala Lumpur. Setiap lewat petang, kawasan ini dipenuhi orang ramai yang datang untuk membeli juadah berbuka puasa serta mencari persiapan Hari Raya.

bazar ramadan jalan tar

Di sini, pilihan makanannya memang pelbagai dan menyelerakan. Pengunjung boleh mendapatkan nasi kerabu, ayam percik, murtabak, roti john, aneka kuih tradisional, minuman trending serta pencuci mulut bersaiz besar yang sering tular di media sosial.

Harga yang mesra poket dengan kuantiti hidangan yang memuaskan menjadikan bazar ini pilihan utama dalam kalangan pekerja pejabat dan juga keluarga.

Lokasinya yang terletak berhampiran SOGO dan Masjid India memudahkan orang ramai untuk singgah. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, stesen LRT Bandaraya berada tidak jauh dari kawasan bazar.

Selain itu, Masjid India juga boleh dikunjungi dengan berjalan kaki untuk menunaikan solat sebelum atau selepas membeli juadah berbuka.

3) Bazar Ramadan Bukit Bintang (Monorel & MRT Bukit Bintang)

Bazar Ramadan Bukit Bintang memberikan pengalaman berbuka puasa dalam suasana kota yang sentiasa sibuk dan bertenaga.

Tapak bazar berada di sekitar Jalan Berangan serta berhampiran Jalan Alor, kawasan ini sering menjadi pilihan pelancong dan warga kota yang ingin menikmati kemeriahan Ramadan di tengah bandar.

bazar ramadan bukit bintang

Pilihan makanannya juga tidak kurang hebat. Selain hidangan tempatan seperti nasi lemak, nasi briyani, roti john dan ayam golek, pengunjung turut boleh mencuba menu antarabangsa serta sajian fusion yang lebih moden dan kreatif.

Bukan itu sahaja, dengan deretan gerai yang dihiasi cahaya lampu bersama bau makanan yang menggoda selera menjadikan suasana di sini cukup hidup setiap petang menjelang waktu berbuka.

Dari segi akses, bazar ini mudah dikunjungi melalui MRT dan Monorel Bukit Bintang yang terletak berhampiran.

4) Bazar Ramadan Cochrane (MRT Cochrane)

Bazar Ramadan Cochrane terletak bertentangan SMK Convent Jalan Peel dan dikenali sebagai bazar komuniti yang aktif setiap kali menjelang waktu berbuka puasa.

Bazar Ramadan Cochrane

Walaupun saiznya tidak sebesar bazar utama di pusat bandar, suasananya tetap meriah dengan kehadiran penduduk sekitar yang datang membeli juadah.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan berbuka seperti lauk-pauk, kuih tradisional serta aneka minuman sejuk yang menyegarkan. Keadaan yang lebih terkawal dan tidak terlalu sesak berbanding bazar besar menjadikan lokasi ini sesuai untuk mereka yang mahu membeli makanan dalam suasana yang lebih tenang dan selesa.

Dari segi kemudahan, stesen MRT Cochrane terletak berhampiran dan memudahkan akses tanpa perlu memikirkan soal parkir. Selain itu, Masjid Jamek Alam Shah juga berada tidak jauh dari kawasan bazar bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat.

BACA JUGA : Senarai Lokasi Dan Tapak Bazar Ramada Di Shah Alam

5) Bazar Ramadan Wangsa Maju (LRT Wangsa Maju)

Pastikan anda memakai kasut yang selesa sebelum datang ke Bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju kerana lokasi ini sering disebut sebagai antara bazar Ramadan paling panjang di Kuala Lumpur. Deretan gerainya yang memanjang membuatkan pengunjung perlu berjalan agak jauh untuk meneroka semua pilihan makanan yang ada.

Bazar Ramadan Wangsa Maju

Bagi yang memandu, kedudukan bazar ini mudah ditemui kerana terletak berhampiran AEON Wangsa Maju. Kawasan sekitarnya juga sudah sinonim sebagai tumpuan orang ramai setiap kali Ramadan, jadi tidak sukar untuk mengenal pasti lokasinya.

Untuk pengguna pengangkutan awam pula, bazar ini berada betul-betul bersebelahan Stesen LRT Wangsa Maju.

Jaraknya yang sangat dekat membolehkan pengunjung terus menuju ke kawasan gerai sebaik sahaja turun dari tren, malah tidak mustahil anda akan disambut dengan bau juadah berbuka yang menyelerakan sebaik melangkah keluar dari stesen.

Jom Ke Bazar Ramadan Naik Pengangkutan Awam

Bazar Ramadan yang terletak berhampiran kemudahan pengangkutan awam bukan sekadar memudahkan orang ramai untuk datang dan pulang, malah turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan sekitar.

aiman

Apa yang terlintas di fikiran, akan ku kongsikan kepada pembaca lain. Selagi ianya bermanfaat. Apa salahnya kan!

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now