Perlawanan JDT vs Penang bakal menjadi perlawanan pembukaan bagi minggu kesepuluh (LS10) Liga Super 2024/2025 selepas lebih 2 minggu berehat bagi memberi ruang untuk aksi skuad Kebangsaan di Pestabola Merdeka 2024.
Aksi bola sepak ini akan berlangsung sehari lebih awal daripada tarikh jadual asal. Pada awalnya bakal berlangsung pada Jumaat dan kini diawalkan sehari iaitu pada Khamis, 12 September 2024 dengan waktu sepak mula pada jam 8.15 malam.
Yang merindukan aksi pasukan kegemarannya pasti tidak sabar untuk saksikan perlawanan ini terutamanya bagi kedua-dua penyokong Johor Darul Ta’zim dan Penang FC yang bakal bertandang ke negeri Johor.
JDT Masih Gah Berada Di Persada Liga
JDT sebagai juara bertahan Liga Super, bakal melangkah ke padang dengan penuh keyakinan dalam perlawanan ini. Kini mereka berada di puncak liga dengan 22 mata, hasil daripada lapan kemenangan dan satu keputusan seri sepanjang sembilan perlawanan mereka.
Kekuatan JDT tidak dapat disangkal lagi, dan mereka dilihat sukar digugat pada musim ini. Manakan tidak, sejak Liga Super bermula pada Mei 2024, JDT masih belum tewas dalam sebarang perlawanan termasuk juga muncul sebagai juara Piala FA juga tanpa sebarang kekalahan.
Penang FC, sebaliknya, berdepan cabaran besar dalam pertembungan ini. Dalam lima perlawanan terakhir mereka, pasukan berpengkalan di Pulau Pinang itu hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu seri, dan dua kekalahan, yang menempatkan mereka di tangga ketujuh Liga Super dengan 10 mata.
Sejarah Pertemuan 5 Perlawanan JDT vs Penang
Jika dilihat daripada rekod pertemuan antara JDT vs Penang juga kurang memihak kepada skuad The Panthers. Dalam lima pertemuan terakhir, Penang gagal mencuri sebarang mata daripada JDT. Malah, dalam tempoh tersebut, Penang telah dibolis sebanyak 22 gol dan hanya berjaya menjaringkan 1 gol sahaja ketika menangan JDT.
Musim lalu pada tahun 2023, JDT dan Penang bertembung sebanyak tiga kali, dua daripadanya dalam saingan liga dan sekali di suku akhir Piala FA. Setiap kali pertembungan, JDT berjaya menundukkan Penang dengan keputusan yang meyakinkan.
Ini menunjukkan betapa besarnya cabaran yang menanti Penang FC dalam perlawanan kali ini. Walaupun begitu, Penang tidak boleh dipandang rendah, kerana bola sepak sentiasa memberi ruang untuk kejutan, dan mereka pasti ingin sekurang-kurangnya mencuri 1 mata di tempat lawan.
Menentang JDT pastinya bukan tugas yang mudah, namun jika Penang berjaya mencuri mata dalam perlawanan ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan moral pasukan, tetapi juga memberi amaran kepada pasukan-pasukan lain bahawa mereka masih berupaya untuk mencabar lawan yang lebih kuat.
Dalam masa yang sama, JDT juga pastinya mahu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka. Dengan barisan pemain bintang dan taktikal yang mantap, skuad Harimau Selatan dilihat berada dalam kedudukan selesa untuk mempertahankan kedudukan mereka di puncak liga.
Siaran Langsung JDT vs Penang – Live Streaming
Jadi untuk mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke stadium, anda boleh saksikan perlawanan ini secara langsung di rumah yang dipancarkan ke kaca tv menerusi saluran RTM di TV Okey dan Sukan RTM.
Manakala untuk tontonan live streaming, anda boleh pergi ke platform RTM Klik yang disediakan secara percuma. Boleh menggunakan sama ada laman web atau aplikasi mobile.
Keputusan Terkini
Berikut merupakan jadual dan keputusan terkini JDT vs Penang bagi aksi Liga Super 2024/2025 di minggu kesepuluh yang berlangsung pada hari Khamis, 12 September 2024
FT : JDT (5) – (0) Penang
- Oscar Arribas 3′
- Jorge Obregon 42′, 48′
- Bergson da Silva 66′ (P)
- Arif Aiman 90+4′ (P)
Masa : 8.15 malam
Venue : Stadium Sultan Ibrahim
TV : TV Okey, Sukan RTM
Live Streaming : RTM Klik