Pasport merupakan dokumen perjalanan yang sangat penting bagi sesiapa yang ingin ke luar negara. Ramai orang hanya teringat untuk tukar pasport atau memperbaharuinya (renew) apabila ia sudah tamat tempoh.
Hakikatnya, ada beberapa keadaan lain yang memerlukan anda menukar pasport lebih awal bagi mengelakkan masalah ketika urusan imigresen atau semasa berada di luar negara.
Berikut ialah lima keadaan di mana anda perlu mempertimbangkan untuk tukar pasport yang baru.
1. Tempoh Sah Pasport Hampir Tamat
Jangan tunggu sehingga pasport benar-benar tamat tempoh. Kebanyakan negara menetapkan syarat bahawa pasport pelawat mesti mempunyai baki tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh kemasukan.
BACA JUGA : Senarai Harga Renew Pasport Malaysia Terbaru
Sebagai contoh, jika anda merancang untuk bercuti pada bulan Disember tetapi pasport akan tamat pada bulan April tahun berikutnya, anda mungkin tidak dibenarkan menaiki penerbangan atau memasuki negara destinasi.
Sebab itu, sebaiknya semak tarikh luput pasport beberapa bulan sebelum merancang perjalanan.
2. Tukar Pasport Bila Muka Surat Hampir Penuh
Bagi mereka yang kerap ke luar negara, halaman pasport boleh cepat dipenuhi dengan cop imigresen atau pelekat visa.

Apabila muka surat hampir penuh, anda disarankan untuk memperbaharui pasport. Ini kerana sesetengah negara memerlukan sekurang-kurangnya beberapa muka surat kosong untuk urusan cop kemasukan atau visa.
Jika tiada ruang yang mencukupi, ia boleh menyukarkan proses perjalanan anda.
3. Pasport Rosak
Pasport yang rosak juga perlu diganti walaupun tempoh sahnya masih panjang. Antara kerosakan yang boleh menyebabkan pasport tidak lagi diterima ialah:
- Koyak
- Terkena air
- Cip elektronik rosak
- Halaman biodata kabur
- Kulit pasport tercabut
- Terdapat kerosakan fizikal lain
Walaupun kerosakan itu nampak kecil, pegawai imigresen berhak menolak penggunaan pasport tersebut jika mereka meragui ketulenan atau kebolehbacaan maklumat di dalamnya. Nak selamat, tukar pasport yang baru.
4. Pasport Hilang
Kehilangan pasport merupakan perkara yang perlu diberi perhatian segera. Jika perkara ini berlaku, anda perlu membuat laporan mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum memohon pasport baharu.
Jangan berlengah kerana pasport yang hilang boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Lebih cepat anda melaporkannya, lebih mudah urusan mendapatkan dokumen perjalanan yang baharu.
5. Berlaku Perubahan Maklumat Peribadi
Sekiranya terdapat perubahan maklumat peribadi seperti nama atau butiran lain yang direkodkan dalam pasport, anda juga perlu memohon pasport baharu.
Ini penting supaya semua maklumat pada pasport selaras dengan dokumen rasmi yang lain seperti kad pengenalan. Maklumat yang tidak sepadan boleh menyebabkan kelewatan atau masalah semasa pemeriksaan imigresen.
Periksa Keadaan Pasport Anda Sebelum Ke Luar Negara
Sebelum menempah tiket penerbangan atau merancang percutian, luangkan sedikit masa untuk memeriksa keadaan pasport anda. Pastikan tempoh sah masih mencukupi, muka surat masih berbaki, tiada sebarang kerosakan dan semua maklumat adalah terkini.
Dengan membuat semakan lebih awal, anda boleh mengelakkan pelbagai masalah yang tidak dijangka serta menikmati perjalanan ke luar negara dengan lebih tenang dan lancar.
Sumber : Imigresen Malaysia









