Ucapan dalam bentuk pantun Ramadan pastinya menjadikan ianya unik dan menarik untuk dikongsikan bersama rakan-rakan, keluarga dan kenalan. Selain ungkapan indah, boleh juga share dalam bentuk pantun.
Ramadan pastikan akan membawa seribu keberkatan dan peluang untuk memperbaiki diri. Bulan yang penuh rahmat ini sering disambut dengan ucapan selamat berpuasa serta kata-kata indah yang menggambarkan makna ketakwaan.
BACA JUGA : Koleksi Ucapan Selamat Berpuasa Dan Salam Ramadan
Ungkapan dalam bentuk pantun bukan sahaja mencerminkan keindahan budaya Melayu, malah mampu menyampaikan mesej dengan cara yang lebih santai dan berkesan. Lepas ni boleh la share pantun ramadan dengan orang ramai.
Contoh Pantun Ramadan Dan Selamat Berpuasa
Pantun Ramadan sering digunakan dalam ucapan selamat berpuasa, sama ada dalam mesej peribadi, media sosial, atau kad ucapan khas. Sambil menikmati suasana Ramadan, boleh juga berbalas pantun kan.
Berikut adalah beberapa contoh pantun Ramadan yang boleh anda gunakan untuk menyampaikan ucapan kepada keluarga, sahabat, dan rakan sekerja:
Bulan Ramadan bulan yang mulia,
Syaitan dibelenggu rahmat melata,
Berpuasa kita dengan setia,
Moga syurga menanti di sana.
Sahur pagi jangan terlupa,
Untuk tenaga sepanjang hari,
Niat di hati kena dijaga,
Ibadah puasa moga diberkati.
Sinar mentari menyapa pagi,
Indah berseri di bulan suci,
Ramadan tiba membawa harmoni,
Mari beramal jangan berhenti.
Bulan Ramadan bulan pengampunan,
Pintu taubat terbuka luas,
Mohon maaf kepada teman,
Moga hati kembali ikhlas.
Ramadan tiba menyucikan jiwa,
Penuh rahmat penuh berkat,
Mari bersama perbanyak pahala,
Agar selamat dunia akhirat.

Di Pulau Pandan menebar pukat,
Tempat berkelah pilihan cuti,
Bulan Ramadan bulan berkat,
Berpuasalah seikhlas hati.
Ambil pandan di waktu pagi,
Penambah rasa aroma masakan,
Bulan Ramadan kembali lagi,
Selamat berpuasa saya ucapkan.
Makan roti jangan berlari,
Kalaulah jatuh kita yang rugi,
Bersihkan hati sucikan diri,
Sambut Ramadan sebentar lagi.
Senyum manis gadis desa,
Kasih sayang tanpa terasa,
Membersihkan jiwa segala dosa,
Selamat menunaikan ibadah puasa.
Pagi hari emak buat kuih,
Tak sempat sambung minggu depan,
Waktu Malam solat tarawih,
Buat dua puluh atau lapan.
Anak melayu mengail ikan,
Perahu berlabuh ditengah lautan,
Sambil menunggu datangnya Ramadan,
Mohon maaf saya sampaikan.
Masyarakat madani satu negara,
Bertekad maju berjalan searah,
Bulan Ramadan disambut segera,
Sampai waktu jangan berlengah.
Dengan berkongsi pantun Ramadan ini, kita dapat menyemarakkan suasana Ramadan dengan lebih ceria dan bermakna. Semoga bulan yang mulia ini membawa keberkatan kepada kita semua. Selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa!
Sumber : aimanabdullah.com