Solat Sunat Witir ialah ibadah sunat yang tergolong dalam kategori sunat muakkad, iaitu amalan yang sangat dituntut dalam ajaran Islam.
Kedudukannya begitu istimewa sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melaksanakannya secara konsisten. Baginda turut menunaikan solat sunat Fajar tanpa mengabaikannya, sama ada ketika berada di tempat tinggal tetap mahupun sewaktu dalam perjalanan.
Amalan Solat Witir tidak terhad kepada bulan Ramadan semata-mata. Walaupun ia sering dikaitkan dengan ibadah malam sepanjang Ramadan, hakikatnya solat ini dianjurkan untuk dilakukan pada setiap malam sepanjang tahun.
Umat Islam digalakkan menjadikannya sebagai penutup kepada solat-solat malam kerana ia termasuk dalam amalan sunat yang amat dititikberatkan.
Solat sunat witir sangat dituntut dan menjadi amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Ia bukan wajib, tetapi ganjarannya besar dan menjadi pelengkap kepada solat malam yang kita lakukan.
Sabda Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah: “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud).
Apa Itu Solat Sunat Witir?
Solat sunat witir ialah solat sunat yang dilakukan sebagai penutup kepada solat malam. Perkataan “witir” bermaksud ganjil. Oleh sebab itu, bilangan rakaatnya mestilah dalam angka ganjil seperti satu, tiga, lima atau lebih, selagi dalam bilangan ganjil.
Kebiasaannya di Malaysia, ramai yang melakukan solat witir tiga rakaat. Namun begitu, solat ini juga boleh dilakukan satu rakaat sahaja jika seseorang itu mahu meringkaskan ibadahnya.
Niat Solat Sunat Witir
Niat Solat Witir 2 Rakaat
Bagi yang menunaikan solat secara bersendirian, lafaz niat boleh dibaca seperti berikut:
أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Witrin rakaatan Lillahi Ta’ala
Maksudnya : “Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana Allah Taala.”
Niat Solat Witir 1 Rakaat
Bagi rakaat terakhir dalam Solat Sunat Witir yang dilakukan secara satu rakaat, berikut merupakan lafaz niat yang boleh dibaca:
أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatal Witrin rakaatani Lillahi Ta’ala
Maksudnya : “Sahaja aku sembahyang sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.”
Panduan Dan Cara Solat Sunat Witir
Solat Sunat Witir dilaksanakan sebagaimana solat-solat sunat yang lain, cuma perbezaannya terletak pada jumlah rakaat yang mestilah dalam bilangan ganjil.
Secara mudah, cara menunaikan Solat Sunat Witir tiga rakaat adalah dengan mendirikan dua rakaat terlebih dahulu dan memberi salam, kemudian disusuli satu rakaat lagi secara berasingan dengan satu salam.
Kaedah ini sering diamalkan kerana lebih ringkas dan menepati tuntutan bilangan ganjil dalam Witir.
1) Cara Solat Sunat Witir 2 Rakaat
Selepas membaca Surah al-Fatihah, boleh dibaca mana-mana surah daripada al-Quran. Namun begitu, terdapat beberapa surah yang lebih utama untuk dibaca sebagai mengikuti amalan yang dianjurkan.
- Rakaat pertama – surah Al-A’la
- Rakaat kedua – surah Al-Kafirunn
2) Cara Solat Sunat Witir 1 Rakaat
Setelah menamatkan dua rakaat pertama dengan satu salam, solat tersebut diteruskan dengan menambah satu rakaat lagi sebagai penutup dan diakhiri dengan satu salam yang berasingan.
- Rakaat ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas
Kelebihan Solat Sunat Witir
Antara kelebihan solat sunat witir yang sering disebut ialah:
- Menjadi penutup ibadah malam.
- Mendekatkan diri kepada Allah.
- Melengkapkan kekurangan dalam solat fardu.
- Memberi ketenangan sebelum tidur atau sebelum Subuh.
Walaupun ia solat sunat, amalan ini memberi impak besar kepada kekuatan rohani seseorang jika dilakukan secara konsisten.
Perlukah Ulang Solat Witir Jika Bangun Tahajud?
Ini juga soalan yang sering ditanya. Jika seseorang sudah melakukan solat witir selepas tarawih, kemudian bangun malam untuk solat tahajud, dia tidak perlu mengulang witir kali kedua. Hal ini kerana dalam satu malam hanya ada satu witir.
BACA JUGA : Bila Mula Baca Doa Qunut Witir Pada Bulan Ramadan?
Jika ingin solat tahajud selepas itu, lakukan sahaja solat sunat seperti biasa tanpa menambah witir lagi.
Penutup
Solat sunat witir ialah amalan mudah yang boleh memberi ganjaran besar jika dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah. Niat solat sunat witir juga tidak rumit, dan cara solat witir sebenarnya sama seperti solat biasa, cuma bilangannya dalam angka ganjil.
Jika selama ini masih ragu-ragu tentang panduan solat witir, semoga perkongsian ini dapat membantu anda lebih yakin untuk mengamalkannya. Mulakan dengan satu rakaat jika terasa berat, kemudian perlahan-lahan tambah mengikut kemampuan.
Yang penting, jangan tunggu sempurna baru hendak bermula. Kadang-kadang amalan kecil yang dibuat secara konsisten jauh lebih bernilai daripada amalan besar yang jarang dilakukan.
Sumber : JAKIM











