Amalkan Doa Nabi Musa – Memohon Limpahan Rezeki DariNya

By aiman

Published On:

Follow Us
lafaz doa nabi musa

Keistimewaan Doa Nabi Musa Ketika Bagi Memohon Limpahan Rezeki.

Dalam kehidupan seharian, setiap manusia pasti akan melalui saat yang mencabar. Ada kalanya kita diuji dengan kesempitan rezeki, masalah pekerjaan, tekanan hidup atau pelbagai kesulitan lain yang membuatkan hati terasa berat. Dalam keadaan seperti ini, ramai yang mencari kekuatan melalui doa dan pergantungan kepada Allah SWT.

BACA JUGA : Tips & Cara Supaya Doa Dimakbulkan Allah

Salah satu doa yang sering dikaitkan dengan keadaan susah dan kesempitan hidup ialah doa Nabi Musa AS. Doa ini sangat terkenal dalam kalangan umat Islam kerana maknanya yang mendalam serta sering diamalkan ketika seseorang berhadapan dengan kesukaran.

Doa Nabi Musa Memohon Limpahan Rezeki

Doa Nabi Musa ini berasal daripada kisah yang diceritakan dalam al-Quran ketika baginda berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan.

Pada waktu itu, Nabi Musa AS baru sahaja melarikan diri dari Mesir dan tiba di sebuah tempat bernama Madyan. Baginda berada dalam keadaan penat, lapar dan tidak memiliki apa-apa.

Ketika berada di situ, Nabi Musa melihat dua orang wanita yang sedang menunggu untuk memberi minum kepada ternakan mereka.

Baginda kemudian membantu mereka mengambil air untuk haiwan ternakan tersebut walaupun dirinya sendiri berada dalam keadaan keletihan.

Selepas membantu kedua-dua wanita itu, Nabi Musa AS beredar dan berehat di bawah teduhan pokok. Dalam keadaan yang sangat memerlukan pertolongan, baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan.

Tidak lama selepas Nabi Musa AS membaca doa tersebut, Allah SWT memperkenankan permohonannya.

Salah seorang daripada wanita yang dibantu tadi datang memanggil baginda untuk bertemu dengan ayah mereka. Ayah mereka kemudian menawarkan pekerjaan kepada Nabi Musa dan akhirnya baginda juga dipelawa untuk berkahwin dengan salah seorang daripada anaknya iaitu Saidatina Shafura.

Lafaz Doa Nabi Musa

Doa tersebut berbunyi:

رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

“Rabbi inni lima anzalta ilayya min khairin faqir.”
(Surah Al-Qasas, ayat 24)

Maksudnya: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.

Walaupun doa ini pendek, maknanya sangat mendalam. Ia menggambarkan pengakuan seorang hamba bahawa dirinya benar-benar memerlukan bantuan dan kurniaan daripada Allah SWT.

doa nabi musa

Waktu Doa Nabi Musa Sesuai Diamalkan

Doa ini boleh diamalkan dalam pelbagai keadaan, terutamanya ketika seseorang sedang melalui saat yang mencabar dalam hidup. Antara waktu yang sesuai untuk membaca doa ini ialah :

  • Ketika memohon kelapangan rezeki daripada Allah SWT
  • Ketika berasa buntu atau tidak tahu arah yang perlu diambil dalam sesuatu situasi
  • ketika anda benar-benar memerlukan bantuan daripada Allah
  • Sebagai doa untuk menenangkan hati dan memohon petunjuk dalam menjalani kehidupan

Jom amalkan membaca doa ini agar dipermudahkan urusan dan dilapangkan rezeki oleh Allah SWT.

Semoga bermanfaat.

Sumber : JAKIM

aiman

Apa yang terlintas di fikiran, akan ku kongsikan kepada pembaca lain. Selagi ianya bermanfaat. Apa salahnya kan!

Join WhatsApp

Join Now

Join Telegram

Join Now