Setiap tahun, Hari Guru disambut bagi menghargai jasa guru-guru di Malaysia. Sempena itu, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan Tema Hari Guru 2024 adalah “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”.
Tema Hari Guru 2024 ini telah diumumkan oleh pihak KPM pada 9 Mac 2024. 16 Mei merupakan tarikh yang ditetapkan sebagai Hari Guru dan secara amnya akan disambut oleh semua para guru di Malaysia bersama anak murid dan pelajar dalam tempoh ini.
Tema Hari Guru 2024 Dan Maknanya
“Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” telah diangkat sebagai tema Hari Guru bagi tahun 2024. Tema ini dipilih setelah pihak KPM sebelum ini telah membuka peluang kepada orang ramai untuk berikan cadangan.

Tema ini diangkat bagi menyokong salah satu daripada 7 Teras Nadi Keunggulan Kementerian Malaysia (KPM), iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah, untuk memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik.
Istilah “Guru Jauhari Digital” merujuk kepada kumpulan pendidik yang mempunyai kompetensi digital tinggi dan menjadi pakar rujukan pengintegrasian teknologi pendidikan digital.
Tema bermaksud menekankan peranan guru sebagai agen perubahan yang menitikberatkan aspek manusiawi dalam kalangan generasi muda untuk melahirkan generasi digital yang mempunyai pemikiran kritis, nilai-nilai murni, berupaya untuk beradaptasi serta berdaya saing dengan kemajuan dunia semasa.

Guru jauhari digital berperanan sebagai peneraju teknologi digital dalam ekosistem pendidikan serta berupaya memberi bimbingan dan inspirasi kepada murid tentang teknologi, penggunaan peranti digital dan keselamatan siber.
Oleh itu, guru masa kini wajib memiliki kebolehan dan keupayaan dalam menggunakan teknologi digital terkini untuk merealisasikan hasrat negara menghasilkan generasi yang mahir dalam teknologi dan siap untuk menghadapi cabaran masa depan.
BACA JUGA
KPM menyasarkan lebih ramai guru jauhari digital setiap tahun untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan teknologi digital secara beretika dan bertanggungjawab.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024

Untuk tahun 2024, Hari Guru yang disambut pada 16 Mei adalah jatuh pada hari Khamis. Sempena itu juga, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut mengadakan sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2024.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 tahun 2024 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad, Kuantan, Pahang (SASICC) selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Mei 2024.
Sejarah Tema Hari Guru
Untuk rujukan, berikut merupakan senarai Tema Hari Guru yang diumumkan sejak tahun 2010 hingga sekarang dan terkini:
- 2010 – Guru Pembina Negara Bangsa
- 2011 – Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
- 2012 – Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
- 2013 – Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
- 2014 – Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
- 2015 – Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
- 2016 – Guru Pembina Negara Bangsa
- 2017 – Guru Pembina Negara Bangsa
- 2018 – Guru Pemacu Transformasi Pendidikan
- 2019 – Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi
- 2020 – Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
- 2021 – Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
- 2022 – Guru Tunjang Sekolah Sejahtera
- 2023 – Guru Insani Pemangkin Generasi Madani
- 2024 – Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani
Semoga dengan sambutan Hari Guru ini memberikan suntikan semangat kepada warga pendidik di Malaysia. Ungkapkan ucapan terima kasih kepada semua guru-guru yang ada di Malaysia. Selamat Hari Guru & Happy Teacher’s Day.
1 thought on “Tema Hari Guru 2024 & Maknanya”